14 March 2012

BERAT ='(

Assalamualaikum wbt

Pagi berganti malam, dan aku masih di sini meniti perjalanan yang masih jauh. Ku biar tari jemari menghurai maksudnya di hati agar mudah aku mengerti segala yang terjadi ini adalah suratan ilahi. sehingga hari ini, aku masih tercari-cari apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam meriahnya konflik di dalam hati. terasa hingar bisikan demi bisikan yang semakin lama semakin kuat didengari. namun aku sendiri tidak tahu apa yang terjadi. aku bertanya kepada hati, kenapa semakin aku cuba, semakin berat aku rasa. semakin jauh aku melangkah, semakin lelah yang terasa. terlalu banyak faktor yang menjadikan aku lemah dan lesu tidak berdaya. Mampukah untuk aku terus begini? tanpa dorongan aku jatuh. tanpa sokongan aku rapuh. kerana insan seperti aku selalu tidak mampu untuk berdiri dengan sendirinya. Saban hari aku memohon dikurniakan seorang pembimbing hati kala hariku menjadi sepi. seorang sahabat yang mengetuk rasa kala rasaku menjadi pahat. seorang insan yang berani mencuit aku kala aku terasa gah. aku selalu terfikir, ke mana aku sekiranya hatiku ini tidak disapa Ilahi, sejauh mana langkahku kiranya aku masih insan yang dulu, barangkali kepanasan matahari pun aku tidak gerunkan lagi. Namun seberat apa pun perasaan yang menghantui diri ini, aku yakin bahawa setiap manusia punyai kehidupan yang bukan mudah untuk sewenangnya ditempuh. sebab manusia itu Allah jadikan kuat dan penerima amanat. ketahuilah bahawa langit yang terbentang luas, gunung yang kuat mencengkam bumi dan tanah yang kukuh menampung juga tidak mampu menanggung amanat seperti amanat yang diberikan kepada manusia, dan manusialah yang terpilih bagi memikul amanat yang diberikan Allah kepada kita. Betullah aku salah kerana menganggap diri aku lemah, kerana sebagai manusia aku seharusnya menjadi seorang yang kuat! kerana hati yang kuat itulah yang mampu menggoncang dunia menjadi hebat bukan pula menghancurkan dunia menjadi tanah gersang yang tidak berguna. Aku mahu terus mencari, namun aku masih memerlukan penggerak semangat. Wahai sahabat, bantulah aku. jangan ditolak aku jauh kerana aku sangat memerlukan kamu. Tegurlah aku andai aku salah banyak mahupun sedikit, kerana aku cintakan teguran yang baik baik. marahlah aku andai aku terlebih dalam perbuatan kerana aku selalu terlupa. dan janganlah menganggap perubahan aku sesuatu yang janggal, sebab penghijrahan mungkin merubah penampilanku, namun aku masih seorang sahabat yang bisa membuat kamu ketawa dan menangis bersama. kalau boleh biarlah kita berteman sehingga ke syurga, insyaAllah :)

love 

1 comment:

  1. Like they always say it ; uhibbuki fillah. Aku menyayangimu kerana Allah ;)

    ReplyDelete